Giliran beruang betina masuk perangkap
Nur Fazlizai Ali
September 5, 2020 14:46 MYT
September 5, 2020 14:46 MYT
Seekor lagi beruang matahari yang merosakkan tanaman dan menceroboh kediaman penduduk di Kampung Jenang, di sini berjaya ditangkap.
Beruang betina seberat 70 kilogram itu dikesan memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekitar pukul 5 pagi Sabtu.
Menurut seorang penduduk, Zulkefli Endut, gangguan binatang itu sejak dua minggu lalu menyebabkan mereka sering dilanda kebimbangan bukan sahaja tanaman dirosakkan, bahkan binatang itu juga sering berkeliaran di sekitar rumah.
Katanya, susulan pencerobohan beruang itu juga menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM1,000 selepas pokok kelapa dirosakkan.
“Dalam dua minggu ni saya dikejutkan dengan (pencerobohan) dua ekor beruang yang telah merosakkan tanaman iaitu kelapa di sekitar kawasan rumah.
“(Beruang) juga masuk ke dalam rumah (meneybabkan) saya bimbang (keselamatan) pada keluarga anak-anak bila saya pergi bekerja, dia orang (keluarga) tinggal di rumah jadi (sedangkan) beruang itu berkeliaran di kawasan rumah,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kedua itu.
Katanya, beruang matahari atau nama saintifiknya helarctos malayanus yang dianggarkan berusia lapan tahun itu akan dihantar ke Taman Negara Terengganu.
Pada Jumaat, seekor beruang jantan seberat 70 kilogram yang memusnahkan tanaman penduduk berjaya ditangkap di kampung berkenaan kira-kira pukul 2 pagi.
#70 kilogram
#beruang betina
#helarctos malayanus
#Kampung Jenang
#Marang
#pencerobohan beruang
#Perhilitan
#terengganu