Gilakan gadis 'pose' manja punca insiden tembakan
Muhafandi Muhamad
Februari 9, 2015 20:34 MYT
Februari 9, 2015 20:34 MYT
Siapa sangka 'pose' manja boleh menjadi punca pergaduhan?
Seorang gadis berusia 23 tahun menjadi rebutan di laman sosial Facebook hingga menyebabkan berlaku insiden tembakan di hadapan sebuah restoran di Jalan Kebun Sultan, di sini, awal pagi tadi.
Gadis berasal dari Kota Bharu itu pada mulanya memuat naik gambar-gambar manja di laman sosial hingga menjadi kegilaan dua kumpulan terdiri daripada lima dan tujuh orang yang mahu memilikinya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dua kumpulan itu kemudian mengadakan perbincangan di restoran tersebut sebelum gadis terbabit mengambil keputusan memilih untuk mengikut kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang berkenaan.
Berang dengan kejadian itu, seorang daripada anggota kumpulan lima orang terbabit melepaskan dua atau lebih das tembakan ke arah kereta jenis Toyota Avanza milik orang awam serta Perodua Kelisa dinaiki sebahagian anggota kumpulan tujuh orang.
“Dua kumpulan itu mengadakan perbincangan untuk merebut perempuan itu. Akibat tidak puas hati, salah seorang daripada kumpulan itu telah melepaskan tembakan ke arah beberapa kereta.
“Suspek cuba melepaskan diri selepas kejadian itu tetapi kami berjaya menahannya,” kata Mazlan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, siang tadi.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Polis juga telah menahan kesemua suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Mazlan berkata, polis juga merampas sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher buatan Australia yang berisi tiga peluru hidup.
Kesemua suspek berusia 20 hingga 27 tahun dan gadis terbabit akan direman di mahkamah pagi esok.