'Gila' tokey ni, jual teh tarik dua kupang
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 12, 2018 07:27 MYT
Ogos 12, 2018 07:27 MYT
Percaya atau tidak, masih ada kedai yang menjual teh tarik dengan harga 20 sen?
Lokasinya di 'Warung Tokey Gila' dekat Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.
Melalui tawaran harga semurah itu, tidak hairanlah setiap pagi kedainya penuh dengan pelanggan.
Menurut Ahmah Thalha Ahmad Sabri, pemilik warung berkenaan, promosi teh tarik 20 sen bertujuan untuk meringankan beban pelanggan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.
"Selalu saya promosi sebulan sekali, tapi untuk tahun ni dia sambutan dia banyak dan menggalakkan tak macam sebelum sebelum ni, tu yang saja lajak lepas sebulan ke sebulan saya lajak sampai hujung tahun," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Bagi pelanggan tetap ke 'Warung Tokey Gila', selain harga yang murah, kualiti makanan yang dijual juga turut menjadi tarikan.
"Selalu saya datang untuk nikmati teh tarik dua cawan. Biar jauh sikit tapi puas hati," kata Rosli Shaari.
Antara juadah yang dijual ialah nasi ayam, mee jawa serta kuih muih yang dijual pada harga yang berpatutan.
"Tak pernah lagi saya jumpa teh semurah ni, selalu bila saya datang tidur rumah kawan saya akan singgah kat sini," kata Muhammad Nu'man Mat Isa pelajar di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi di sini.
Harga teh tarik 20 sen bagaimanapun terhad kepada tiga jam terawal sahaja iaitu bermula 6 pagi sehingga jam 9 pagi.
Selepas waktu itu, harga yang dijual kembali kepada RM1 segelas.
#Alor Setar
#Astro
#Astro Awani
#ekonomi
#ISA
#Kedah
#pelajar
#Rosli Shaari
#rumah
#Teh tarik dua kupang
#teh tarik dua puluh sen
#Warung Tokey Gila