GIACC harap RUU Ombudsman dibentang di Parlimen menjelang akhir tahun ini
Bernama
April 18, 2019 04:15 MYT
April 18, 2019 04:15 MYT
Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman, untuk memastikan pengurusan yang lebih berkesan terhadap aduan awam dapat dibentang di Parlimen selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata pihaknya bersama Biro Pengaduan Awam (BPA) kini sedang dalam rangka kerja menyediakan RUU itu untuk dibawa kepada jemaah menteri.
"Kami telah berbincang untuk memorandum jemaah menteri dibuat dengan RUU untuk dibentang dalam mesyuarat Kabinet...kami sedang berusaha untuk memastikan ia (dibentangkan di Parlimen) menjelang akhir tahun ini, itulah harapan kami," katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC) di sini, Khamis malam.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Sept tahun lepas dilapor berkata Akta Ombudsman akan digubal bagi menukar fungsi BPA kepada Ombudsman Malaysia untuk memastikan pengurusan aduan awam di negara ini lebih berkesan.
Anis Yusal berkata penubuhan badan bebas itu berupaya mewujudkan satu ekosistem selamat dan terjamin bagi rakyat membuat aduan berkaitan agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Ombudsman Malaysia akan berfungsi sebagai peringkat kedua, dengan orang awam boleh memanjangkan aduan kepada badan itu sekiranya aduan menerusi peringkat pertama di agensi kerajaan terlibat, tidak berhasil.
"Pengadu boleh mengadu kepada Ombudsman Malaysia, dan badan ini akan menyiasat kenapa agensi kerajaan terlibat tidak mengambil tindakan wajar, jadi rakyat mempunyai tempat lain untuk membuat aduan," katanya. -- Bernama