Ghost Smoke mampu menjadi wabak sosial

Jufitri Joha
Julai 23, 2019 20:00 MYT
Pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ghost smoke ini mudah didapati dan murah harganya. - Astro AWANI
SUSULAN penyebaran video berkenaan sejenis gula-gula ghost smoke, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar penjualannya dihentikan segera.
MBM menzahirkan rasa bimbang melihatkan gejala ghost smoke ini berpotensi menjadi wabak di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.
Kebimbangan ini berasas kerana MBM sendiri amat khuatir ia mampu mendorong mereka terus terjerumus dalam gejala sosial yang lebih besar.
Bermula dengan gula-gula, berubah angin kepada rokok dan tidak mustahil kepada gam dan dadah.
Tambah membimbangkan, pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ghost smoke ini mudah didapati dan murah harganya.
Pelajar sekolah boleh mendapatkannya di gerai-gerai jualan makanan ringan atau jajan di persekitaran luar sekolah atau membelinya di portal jualan atas talian.
Dalam hal ini, MBM mengesyorkan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mula menggerakkan operasi pemantauan dalam memastikan penjualan gula-gula ghost smoke ini dihentikan serta-merta.
Dengan kadar perokok di kalangan pelajar sekolah yang tinggi iaitu 68,321 orang pelajar pada tahun 2018, MBM tidak mahu melihat jumlah ini terus meningkat pada tahun-tahun mendatang disebabkan oleh terdedahnya mereka kepada wabak ghost smoke ini.

* Jufitri Joha adalah Presiden Majlis Belia Malaysia
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#gejala sosial #Ghost Smoke #gula-gula #majlis belia malaysia #MBM #rokok #vape #Wan Azizah
;