GHEF2023: Rapatkan jurang akses pendidikan tinggi
Irfan Faruqi
November 23, 2023 15:02 MYT
November 23, 2023 15:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah melebarkan jurang akses, peluang dan sumber untuk pendidikan tinggi khususnya bagi golongan rentan, yang telah menyebabkan segelintir masyarakat terlepas peluang melanjutkan pengajian.
Sebagai usaha untuk mencari solusi dan mendapatkan idea daripada pemegang taruh terbabit, 8th Global Higher Education Forum (GHEF) 2023 telah dilaksanakan pada 15-17 November lalu.
Ia menghimpunkan wakil pelajar, orang kurang upaya (OKU), institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan industri yang menyediakan pekerjaan bagi graduan TVET.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, GHEF2023, merangkap Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Ts. Rohayati Mohd Isa berkata forum tersebut membincangkan refleksi dan cabaran semasa dalam ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
“Pada tahun 2023, kita angkat tema ‘Pemulihan kesaksamaan pendidikan tinggi pasca pandemik’ lanjutan daripada pengalaman yang kita hadapi pada 2020-2021. Kesan domino COVID-19 telah memberi kesan kepada sektor pendidikan tinggi juga.
“Laporan World Bank pada 2021 mendapati seramai 220 juta pelajar pendidikan tinggi terkesan di hampir 175 negara telah menyaksikan penutupan institusi pendidikan tinggi. Pandemik telah melebarkan jurang akses, peluang dan sumber untuk pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Dalam temu bual yang sama, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Riam Chau Mai berkata GHEF2023 menyediakan platform yang memberikan peluang kepada semua pemegang taruh untuk memberikan input penambahbaikan TVET secara terbuka.
“Kita bawa semua pihak yang berkepentingan sama ada dari aspek penyedian TVET, bahkan pelajar juga. Mereka membuka mata kita mengenai perkara yang diperlukan sebagai seorang pelajar. Peringkat seterusnya, institusi itu sendiri. Jadi, kita bawa para pensyarah atau tenaga pengajar TVET untuk memberi input.
“Seterusnya untuk lengkapkan kitaran ini adalah dengan menjemput badan yang menyediakan pekerjaan kepada graduan-graduan TVET. Di sini peranan industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi input mereka melihat sama ada graduan yang dikeluarkan oleh institusi TVET boleh diterima bekerja dalam industri,” katanya.
Mengenai langkah yang dilaksanakan untuk mengatasi cabaran golongan belia khususnya lelaki yang memilih untuk tidak melanjutkan pengajian diperingkat tertiari, Riam berkata pihaknya memberi penekanan kepada aspek menyerlahkan kewujudan institusi TVET kepada orang awam.
“Kewujudan Politeknik dan Kolej Komuniti di serata negara memberi peluang kepada mereka yang tidak mendapat maklumat mengenai program yang ditawarkan oleh institusi TVET. Apabila kita sampaikan maklumat ini ke peringkat sekolah atau komuniti setempat, mereka dapat maklumat mengenai program yang ditawarkan,” jelasnya.