Ghazali 'MacGyver' pakar cipta mesin, paramotor

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 20, 2021 10:47 MYT
Ketika ini, Ghazali menerima tempahan dari peminat sukan paramotor daripada seluruh negara. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Minat terhadap inovasi menyebabkan seorang warga emas dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini tidak duduk diam apabila mencipta pelbagai mesin termasuk paramotor bagi sukan ekstrim.
Sehinggakan ada yang menggelarnya 'MacGyver Malaysia' kedua selepas Zulkifli Haron.
Pesara, Ghazali Johari, 63, masih meneruskan hobinya mencipta mesin untuk kegunaan pertanian dan menghasilkan paramotor sekali gus memenuhi permintaan peminat sukan ekstrim di negara ini.
Kesemua mesin itu dihasilkan di bengkelnya di Lahar Ikan Mati, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menurut Ghazali, dia mula mencipta mesin menanam jagung pada 1985 hasil pengalaman bekerja di Institut Pertanian Bumbung Lima disusuli dengan mesin pelerai padi dan Go-Kart.
"Saya memang minat paramotor dan suka membuat inovasi. Jadi antara inovasi yang saya mula buat adalah seperti mesin tanam jagung dalam bidang pertanian, kemudian mesin pelerai padi, selepas tu sekarang saya mula buat paramotor sejak 2010.
"Ramai peminat paramotor hendak mendapatkan paramotor ini dari luar negara namun sangat mahal, jadi saya usahakan membawa enjin kita, import enjin dari luar negara selepas tu kita akan buat badan, case, kemudian kita fabrigate bahagian-bahagian paramotor yang lain," katanya.
Harga sebuah paramotor dihasilkan Ghazali antara RM16,000 hingga RM20,000 berbanding harga pasaran sekitar RM30,000.
Ketika ini, dia menerima tempahan dari peminat sukan paramotor daripada seluruh negara.
Oleh kerana bidang pertanian sudah menjadi darah dagingnya, dia merancang menghasilkan paramotor khusus untuk kegunaan di kawasan sawah seperti menyembur racun dan menabur baja.
"Selain daripada hobi, kita boleh guna untuk menabur baja atau menyembur racun di sawah padi. Buat masa sekarang, pakai dron tetapi tidak banyak sangat, mungkin dalam 10 liter, tetapi kalau kita guna paramotor mungkin boleh sampai 100 liter," jelasnya.
Ghazali turut mengakui paramotor boleh dimanfaatkan pasukan penyelamat untuk membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) berdasarkan pemantauan dari udara.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#MacGyver #Ghazali Johari #warga emas #paramotor #sukan ekstrim #inovasi #Zulkifli Haron #Lahar Ikan Mati #Institut Pertanian Bumbung Lima
;