GFNY 2023: Beberapa jalan di ibu negara ditutup Ahad ini
Bernama
Februari 10, 2023 15:34 MYT
Februari 10, 2023 15:34 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada Ahad ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan basikal Grand Fondo New York (GFNY) 2023.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata program berkenaan akan bermula di Dataran Merdeka pada 6 pagi dan melalui beberapa jalan sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur serta Selangor dan akan berakhir semula di Dataran Merdeka.
Beliau berkata antara jalan yang akan ditutup dan dilencongkan ialah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak ke arah Lebuhraya Sultan Iskandar.
"Selain itu, Jalan Kuching ke Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela ke Jalan Loke Yew, Bulatan Billion ke MRR2, MRR2 hingga ke Taman Metropolitan ke sempadan Selangor, Jalan Kuching bermula Bulatan Batu Caves hingga Bulatan Segambut dan Jalan Kuching hingga Bulatan Dato' Onn dan ke Dataran Merdeka semula.
"Jalan berkenaan akan ditutup dan dilencongkan bermula 6.30 pagi secara berperingkat hingga 9 pagi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata ia kemudian akan dibuka semula juga secara berperingkat mulai 9 pagi hingga 11.30 pagi.
"Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam atau elakkan melalui jalan yang ditutup dan patuhi arahan anggota polis bertugas bagi memastikan pengurusan lalu lintas berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata tujuh pegawai kanan dan 103 pegawai rendah polis daripada JSPT akan digerakkan untuk menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sepanjang berlangsungnya program berkenaan.
GFNY 2023 akan bermula pada 6 pagi untuk pendaftaran dan pelepasan seramai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara akan dilakukan pada 7 pagi melibatkan dua kategori peringkat profesional dan semiprofesional iaitu 140kilometer (km) dan 70km.
-- BERNAMA