Gesaan langkah drastik atasi kemiskinan digital masyarakat bandar dan luar bandar
Hasimi Muhamad
Disember 12, 2020 13:31 MYT
Disember 12, 2020 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah drastik perlu diambil untuk mengatasi masalah kemiskinan digital dalam kalangan masyarakat bandar dan luar bandar.
Pengarah Institut Penyelidikan Dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, kewujudan jurang digital akan menyebabkan kelompok terbabit tercicir dalam banyak aktiviti termasuk ekonomi.
Selain itu, jelas beliau, keadaan tersebut turut menyebabkan usaha untuk memajukan diri khususnya dengan memanfaatkan teknologi digital tidak dapat dilaksanakan.
"Bagi saya ia serius (tahap kemiskinan digital) kerana sekali lagi akan ada kelompok-kelompok yang ketinggalan. Ini kerana kalau kita lihat, bukan setakat tumpuan kerajaan untuk fokus kepada teknologi digital sahaja, tetapi dari aspek ekonomi digital.
"Sebagai contoh, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan COVID-19, orang tidak boleh bekerja. Jadi, orang akan fokus melalui digital dan bayangkan jika tidak boleh mengakses (platform) digital, mereka tidak akan dapat menyertai aktiviti-aktiviti berkaitan teknologi digital," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad yang juga Fello Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) berkata, kemiskinan digital berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pendapatan yang tidak mencukupi.
Selain itu, katanya pengetahuan yang terhad terhadap penggunaan teknologi digital.
"Kalau kita lihat Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Malaysia ialah 5.6 peratus daripada populasi penduduk.
"Tetapi jurang digital ini belum ada indikator yang khas untuk mengukur berapa ramai yang mengalami kemiskinan digital.
"Melainkan kalau kita boleh tengok data-data yang dikongsi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang mana kita dapati akses kepada internet termasuk peralatan digital tinggi tetapi boleh dikatakan kelompok yang kecil.
"Contohnya ada tiga peratus yang tidak dapat akses dengan baik, seperti penggunaan telefon bimbit," katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad menzahirkan keyakinan terhadap komitmen kerajaan untuk mengatasi jurang digital menerusi pelbagai inisiatif program termasuk melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Kemiskinan digital didefinisikan sebagai individu atau isi rumah yang tidak mampu atau rendah dari aspek pengetahuan tentang teknologi digital; keupayaan untuk guna teknologi digital; akses kepada kemudahan digital; serta keterhadan penyediaan teknologi digital.