Gesa kerajaan beri wang ihsan, royalti minyak kepada Pahang - Pemuda UMNO Bera

Astro Awani
Januari 2, 2021 22:59 MYT
Khaizul Nizam Mohamad Zuldin berkata, pemberian wang ihsan berjumlah RM100 juta itu pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2012.
BERA: Pemuda UMNO Bahagian Bera menggesa kerajaan segera memberi wang ihsan kepada kerajaan negeri Pahang susulan penemuan rizab minyak tambahan di negeri itu pada tahun 2012.
Gesaan itu disuarkan Ketua Pemudanya, Khaizul Nizam Mohamad Zuldin yang berkata, pemberian wang ihsan berjumlah RM100 juta itu pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2012.
“Sebagai pemerintah yang prihatin dan mendengar suara rakyat, kerajaan haruslah mengotakan janji untuk melunaskan pembayaran wang ihsan tersebut.
“Ia boleh dimanfaatkan Kerajaan Negeri Pahang untuk pelaksanaan projek pembangunan dan program kebajikan demi kesejahteraan rakyat.
“Isu ini harus dibangkitkan semula mengenai soal pembayaran royalti supaya dapat dipertimbangkan dan jika diluluskan, ia mampu membantu meningkatkan dan merancakkan lagi ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, mereka juga menggesa rundingan berkaitan tuntutan wang ihsan itu diadakan segera bagi mengelak daripada itu berkenaan terus dipandang sepi.
“Kami percaya pembayaran ini mampu memberi kesan positif terhadap ekonomi negeri sekali gus memberi pulangan berganda kepada pendapatan negara melalui kutipan cukai korporat dan perniagaan,” ujarnya.
Sebelum ini, isu sama pernah dibangkitkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada tahun lepas.
Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan nilai yang hendak diberikan.
Untuk rekod, pada Oktober 2012 Najib mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307 oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil.
Beliau dilaporkan berkata kedudukan medan minyak tersebut terletak kira-kira 160 kilometer di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang pada kedalaman air 76 meter.
Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu berkata Pahang dijangka menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran.
#Najib Razak #UMNO #Pemuda UMNO #Petronas #PM #Menteri Besar #Pahang #Perdana Menteri #ekonomi #kerajaan #cukai #minyak #rakyat #menteri #pemuda #wang ihsan #royalti minyak
;