'Gerobok Rezeki Opah Minah', sedekah barang keperluan kepada penduduk kampung

Bernama
Jun 17, 2021 09:44 MYT
Ahmad Mizuan (gambar) berkata, beliau dengan dibantu adik-adik dan sepupu-sepupu bersama menyediakan barangan keperluan asas di gerobok rezeki berkenaan yang boleh diambil pada bila-bila masa secara percuma. --fotoBERNAMA
PARIT: Dalam usaha meneruskan amalan arwah Opah Minah yang suka bersedekah, ahli keluarganya mengambil inisiatif membina sebuah pondok yang menyediakan barangan makanan asas secara percuma untuk penduduk Kampung Tua, Tanjung Belanja, di sini, sejak April lepas.
Pondok rezeki yang diberi nama Gerobok Rezeki Opah Minah itu, diasaskan oleh cucu sulung arwah, Ahmad Mizuan Ahamad Tekmizi, 39, bagi membantu individu serta keluarga yang memerlukan dengan menyediakan keperluan asas sekali gus meringankan beban sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad Mizuan berkata nama 'Gerobok Rezeki Opah Minah' diberi bersempena nama panggilan arwah neneknya, Aminah Abdul Zabry yang membesarkan beliau dan tiga lagi adik lelakinya di kampung berkenaan, sebelum meninggal dunia pada 2018 ketika berusia 81 tahun.
"Niat kita bina gerobok ini adalah untuk membantu penduduk kampung terutama yang terjejas ketika pandemik COVID-19 selain menyambung amalan Opah Minah ketika masih hidup dahulu.
"Arwah cukup rapat dengan kami adik-beradik dan kami buat gerobok ini sebagai antara penghargaan kepadanya. Arwah Opah Minah ini suka bersedekah di masjid terutama kalau ada berita baik mengenai anak cucunya. Dia suka berbasikal dan ramah dengan penduduk kampung," katanya ketika ditemui pemberita di Gerobok Rezeki berkenaan di sini.
Ahmad Mizuan berkata beliau dengan dibantu adik-adik dan hampir 20 orang sepupunya yang juga cucu Opah Minah, bersama-sama berkongsi rezeki menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, serbuk uncang teh, gula dan sebagainya di gerobok rezeki berkenaan yang boleh diambil pada bila-bila masa secara percuma.
"Pada mulanya, memang saya yang bina gerobok ini dengan izin tuan tanah untuk menyampaikan bantuan asas ini dengan kos binaan gerobok bernilai hampir RM3,000 manakala sebanyak RM250 akan saya sumbangkan untuk bekalan keperluan asas.
"Hari demi hari, ahli keluarga terdekat juga mahu bersama-sama membantu orang kampung dan usaha ini berterusan termasuk terdapat individu lain yang menghubungi saya untuk turut menyampaikan bantuan," katanya yang juga Penolong Jurutera Majlis Daerah Perak Tengah.
Ahmad Mizuan berkata beliau dan ahli keluarganya sememangnya mengalu-alukan sumbangan orang ramai dalam menghulurkan bantuan untuk diletakkan di gerobok berkenaan bagi kegunaan penduduk kampung, khususnya individu yang kehilangan pekerjaan atau tidak dibayar gaji.
"Kami dapat maklum balas yang baik, penduduk kampung terdekat juga ada yang datang ambil makanan. Terdapat juga orang kampung yang bersihkan kawasan pondok ini secara sukarela dan ada juga yang tinggalkan wang kertas bernilai RM1 mungkin sebagai penghargaan kepada kami dan kami amat gembira sekali kerana dapat membantu," katanya yang boleh dihubungi di talian 012-3361342.
Bagi penduduk kampung, Rajamah Man, 56, beliau berasa bersyukur kerana terdapat insan yang prihatin terhadap nasib golongan yang memerlukan seperti keluarganya.
"Alhamdulillah semoga keluarga ini dimurahkan rezeki kerana bantu orang kampung. Barangan seperti beras, gula dan tepung memang sangat diperlukan dan gerobok Opah Minah ini sangat meringankan beban orang yang memerlukan," katanya yang tinggal bersama suami, seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang cucu lelaki berumur lima tahun.
-- BERNAMA
#gerobok #rezeki #percuma #barangan makanan #sedekah #Opah Minah #pondok rezeki #cucu #keluarga yang memerlukan #keperluan asas #meringankan beban #PKP #Aminah Abdul Zabry #Perak Tengah #parit #Perak #penduduk kampung
;