Gerik kembali ceria selepas sedekad muram

Aida Aziz
Januari 17, 2024 08:15 MYT
Pilihan mural yang diketengahkan juga mengetengahkan makanan tradisi, budaya dan topik yang berkait rapat dengan Gerik.
GERIK: Wajah sekitar pekan Gerik yang dahulunya dikatakan suram kini berubah ceria dengan adanya mural dan lukisan yang nampak nyata menghiasi di dinding dan bangunan.
Pilihan mural yang diketengahkan juga mengetengahkan makanan tradisi, budaya dan topik yang berkait rapat dengan Gerik khususnya pekasam, ikan Loma, Hentian Royal Belum serta lokasi pelancongan menarik.
Menerusi Facebook Syal Sepehee, beliau memberitahu pasukannya diberikan tugasan untuk menyiapkan mural tersebut oleh Majlis Daerah Gerik.
Katanya lagi, ia juga bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024 yang sudah mula menggamit ramai pelancong domestik dan luar negara.
Tambahnya, terdapat banyak cabaran dan kekangan dari sudut masa dan cuaca sepanjang projek melukis mural berkenaan.
"Sempena Tahun Melawat Perak 2024, Alhamdulillah kami diberi tugasan untuk menyiapkan beberapa lukisan dinding di sekitar Pekan Gerik oleh Majlis Daerah Gerik.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga buat penduduk sekitar pekan Gerik yang bermurah hati selalu berkongsi makanan serta minuman dengan pasukan kami.
"Mudah-mudahan lukisan kami diterima baik oleh penduduk setempat mahupun pelancong luar.
"Walaupun ia tidak sesempurna di mata semua yang memandang. Kami sedaya buat yang terbaik dengan kekangan masa dan juga faktor cuaca yang tidak menentu," katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, orang ramai memberi maklum balas positif berhubung mural tersebut.
Di samping itu, dengan wujudnya ruangan seni tersebut, ia bakal menjadi salah satu lokasi wajib bagi orang ramai bergambar jika singgah ke daerah itu.
Nas Ismail dalam ruangan komen menulis: "Cantik sangat... Gerik kembali ceria setelah sedekad muram."
Fadzil Sidek pula berkata, hasil seni tersebut dapat dinikmati bukan sahaja warga Gerik tetapi juga tetamu dari luar.
Azym Azizi pula menulis: "Terima kasih cantikkan semula Gerik, boleh kami berjalan keliling pekan selepas ini."
#Gerik #Tahun Melawat Perak 2024 #mural Gerik #Majlis Daerah Gerik
;