Gerhana matahari separa di Malaysia tetap jadi fenomena meskipun sewaktu PKPP

Faris Danial Razi
Jun 21, 2020 19:32 MYT
Di Planetarium Sultan Iskandar, Kuching, pengunjung berpeluang melihat gerhana matahari separa menggunakan teleskop khas untuk cerapan dan beberapa peralatan lain seperti cermin mata khas yang disediakan. - Facebook Planetarium Sultan Iskandar
Meskipun tidak digalakkan berkumpul untuk menyaksikan gerhana matahari separa menggunakan teleskop seperti tahun-tahun sebelum ini, fenomena itu tetap mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Lebih 70,000 penonton menyaksikan fenomena tersebut melalui penstriman langsung Facebook, manakala seramai lebih 30,000 penonton yang menyaksikannya di laman YouTube Planetarium Negara pada Ahad.
Di Malaysia, orang ramai dapat menyaksikan gerhana matahari separa dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang dan ia berbeza dengan beberapa negara lain di seluruh dunia.
Terdahulu, pihak Planetarium Negara mengeluarkan satu kenyataan bagi meminta orang ramai supaya tidak melihat ke arah matahari secara terus tanpa penuras yang sesuai.
“Kemudahan teleskop tidak akan dibuka kepada orang awam atas faktor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti penstriman langsung fenomena gerhana matahari separa melalui media sosial Facebook dan YouTube Planetarium Negara,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah bagi mereka yang tidak pernah terlepas menyaksikan gerhana tersebut pada jam 3.57 petang, yang mencapai litupan maksimum iaitu 10.4 peratus dengan menggunakan normal baharu iaitu menerusi penstriman langsung.
Dimaklumkan, fenomena gerhana matahari separa kali ini merupakan yang terakhir dapat disaksikan sebelum ia dijangka kembali semula tiga tahun akan datang.
Namun, berbeza pula di Planetarium Sultan Iskandar, Kuching. Pengunjung berpeluang melihat gerhana matahari separa menggunakan teleskop khas untuk cerapan dan beberapa peralatan lain seperti cermin mata khas yang disediakan pihak planetarium.
Gerhana selama satu jam 30 minit itu bermula pada jam 3.13 petang, maksimum gerhana matahari separa pula pada jam 4.17 petang dan gerhana berakhir pada jam 5.20 petang.
Menurut kurator Planetarium Sultan Iskandar, Iswandi Ali, fenomena ini boleh juga dilihat di beberapa negara lain di seluruh dunia dan tahap maksimum di Malaysia paling tinggi ialah di Kota Kinabalu iaitu 32 peratus.
“Ia meliputi kawasan yang sedikit sahaja diatas permukaan bumi iaitu pada kawasan yang kecil yang melalui kawasan Afrika.
"Selepas itu ke kawasan utara India, kemudian ke China dan berakhir di kawasan lautan pasifik. Selain dari kawasan itu, kita juga di Malaysia berpeluang lihat gerhana matahari separa.
“Jadi untuk di kawasan Malaysia (semenanjung termasuk Sabah Sarawak) kawasan yang maksimum kita dapat saksikan adalah sebanyak 32 Peratus iaitu di Kota Kinabalu,” jelasnya.
#Facebook #gerhana matahari #Gerhana Matahari Separa #Kota Kinabalu #Kuching #normal baharu #penstriman langsung #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #Planetarium Negara #Planetarium Sultan Iskandar #YouTube
;