Gerhana bulan penuh, sambutan Thaipusam tidak terjejas

Madiha Abdullah
Januari 31, 2018 15:38 MYT
Penganut agama Hindu laksana upacara Thaipusam seperti biasa, tidak anggap gerhana bulan penuh sebagai penghalang. - Astro AWANI/Shahir Omar
Biarpun sambutan Hari Thaipusam tahun ini jatuh pada hari yang sama dengan kejadian gerhana bulan penuh, ia tidak mematahkan semangat penganut agama Hindu untuk melaksanakan upacara ibadat mereka seperti yang biasa dilakukan sebelum ini.
Rata-rata yang ditemui di Batu Caves siang tadi mengakui, kejadian itu merupakan satu fenomena alam yang tidak dapat dihalang, namun bukan bermakna mereka harus mengubah tradisi nenek moyang yang sudah dipegang sejak beratus-ratus tahun lalu.
Ada sesetengah penganut Hindu berpendapat, ketika kejadian gerhana bulan penuh, adalah lebih baik jika mereka tidak keluar rumah kerana bimbang akan 'gelombang negatif' yang wujud akibat fenomena itu.
Gerhana bulan dijangka berlaku dari 7.48 malam hingga 11.11 malam hari ini, yang akan memendekkan tempoh bagi penganut Hindu untuk bersembahyang pada Hari Thaipusam.
"Pada pendapat saya, kejadian gerhana itu pun Tuhan yang buat. Saya tidak rasa akan ada apa-apa yang tidak baik jika kita keluar rumah untuk beribadat.
"Lagipun zaman sekarang, gerhana atau apa saja kejadian, kita tetap kena keluar rumah untuk urusan seharian seperti bekerja," kata salah seorang penganut Hindu yang ditemui Astro AWANI.
"Kami buat apa yang sepatutnya dilakukan. Kami percaya yang semuanya akan baik-baik sahaja jika niat itu baik," kata seorang lagi.
Bagi pelancong dari luar negara pula, kemeriahan sambutan Thaipusam adalah sesuatu yang unik dan tidak pernah ditemui di negara lain.
"Kami sudah melancong ke banyak negara, inilah kali pertama kali bertemu dengan sambutan sebegini.
"Jujurnya saya tertarik dengan kegagahan mereka yang mengangkat kavadi, malah saya juga kagum melihat mereka sanggup mengharungi cuaca yang sangat panas ini demi menghormati dan melaksanakan upacara agama mereka," kata pelancong dari Poland, Agnes Konzako.
#Batu Caves #Hindu #India #ritual #sambutan #Thaipusam
;