Gereja, kuil di Kota Bharu dibaling 'penapis air berapi'

Muhafandi Muhamad
Januari 7, 2018 18:46 MYT
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan yang meninjau tempat kejadian berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian perbuatan khianat terbabit. - Foto Astro AWANI
Polis Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian khianat terhadap dua pusat ibadat membabitkan sebuah gereja dan kuil Hindu di Jalan Hamzah di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, Gereja Methodist Kota Bharu dan Kuil Arulmigu Subramaniyar Siva terbabit dilempar dengan dua objek dipercayai penapis air yang disumbat sumbu serta dibakar pada bahagian depan.
Menurut Pastor Gereja Methodist Kota Bharu, Goo Siew Lai, 42 tahun, dia dikejutkan dengan bunyi tingkap pecah di tingkat 3 dan 4 pukul 12 tengah malam tadi ketika sedang asyik membaca buku di tingkat 2.
“Saya melihat kelibat seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Grand Lavina dan membaling objek ke arah cermin gereja beberapa kali dari atas jejambat, kira-kira 7 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Kejadian itu merupakan kali kedua selepas kali pertama pada Januari lepas sehingga menyebabkan cermin tingkat tiga pecah.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan yang meninjau tempat kejadian berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian perbuatan khianat terbabit.
Katanya, menerusi rakaman telefon didapati perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina berwarna putih.
Bagaimanapun, beliau berharap agar saksi kejadian tampil memberi kerjasama kepada polis agar pihaknya dapat menyiasat perkara itu secara terperinci.
#cermin gereja pecah #Datuk Hasanuddin Hassan #Gereja Methodist Kota Bharu #Ketua Polis Kelantan #Kuil Arulmigu Subramaniyar Siva #penapis air berapi
;