Gereja Borneo tarik balik semakan kehakiman kalimah Allah

Sinar Harian
Mei 17, 2023 19:39 MYT
SIB menarik balik tindakan undang-undang untuk memohon perisytiharan berkenaan melalui notis pemberhentian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) menarik balik permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dan amalan keagamaan Kristian pada 25 April lalu.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa SIB menarik balik tindakan undang-undang untuk memohon perisytiharan berkenaan melalui notis pemberhentian.
"Ia susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia, tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
"Wanita itu memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Gereja SIB dan Presidennya, Reverend Datuk Jerry WA Dusing@ Jerry W Patel memfailkan semakan kehakiman berkenaan selepas buku agama Kristian berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah, yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia dirampas oleh Jabatan Kastam di terminal penerbangan tambang murah di Sepang pada Ogos 2007.
Pada 1 Oktober 2014, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada gereja itu untuk memulakan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah Allah dalam semua penerbitan dan bahan keagamaannya selepas Mahkamah Tinggi pada 5 Mei 2014 menolak permohonan bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.
Bagaimanapun, pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat namun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.
Susulan itu, pada 18 April lalu, kerajaan dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan bahan agama Kristian, bagi tujuan pembelajaran. - Sinar Harian
#isu kalimah Allah #Sidang Injil Borneo #gereja borneo #status kes
;