Geran khas Sabah, Sarawak kekal RM300 juta bagi tahun 2024 - Fadillah
Fadilah Sulaiman
September 30, 2023 14:42 MYT
September 30, 2023 14:42 MYT
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan pusat masih mengekalkan dana pemberian khas RM300 juta masing-masing untuk Sabah dan Sarawak bagi peruntukan tahun 2024.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana formula pemberian khas yang telah dibentangkan sebelum ini masih lagi belum dimuktamadkan.
“Formula belum (ditentukan), tapi jumlah RM300 juta itu sudah ditentukan. (nilai itu akan kekal) sehingga kita muktamadkan (formula).
"Sekarang RM300 juta itu tertakluk untuk digazet, apabila sudah digazet mereka akan membayarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, dekat sini, pada Sabtu.
Rundingan formula di antara kerajaan pusat bersama dua kerajaan negeri itu adalah selari dengan tuntutan wilayah Borneo berkenaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Penetapan peruntukan RM300 juta itu merupakan penyelesaian interim bermula tahun 2023, sementara rundingan formula masih diteruskan oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan sendiri oleh Fadillah.
Dalam pada itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini menjelaskan justifikasi prinsip kerajaan Sarawak untuk menentukan satu formula khusus yang tidak terikat kepada nilai tetap adalah kerana mahu susah senang bersama Kerajaan Persekutuan, mengambil kira keupayaan ekonomi negara semasa.