Geran Khas Prihatin berkesan, perlu ditambah lagi

Astro Awani
November 30, 2020 09:54 MYT
Sejumlah 304,000 PKS Mikro dijangka menerima bantuan GKP 2.0 berjumlah RM912 juta yang dibayar mulai hari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus perniagaan di Malaysia adalah terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merangkumi 45 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam negara.
Ini sekali gus menjadikan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 yang diberikan kerajaan boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan peluang pekerjaan.
Menurut Pengarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azmawani Abd Rahman, aliran tunai dalam kalangan peniaga amat penting.
Jika ia terjejas, ini boleh membawa kepada 'gulung tikar'.
"Pemberian GKP ini membantu kerana tunai amat diperlukan untuk mereka meneruskan perniagaan.
"Ini kerana, produk dan perkhidmatan oleh PKS berpotensi berkembang jauh, namun COVID-19 membuatkan mereka menghadapi masalah aliran tunai," katanya.
Permohonan bagi inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 dibuka mulai 1 hingga 31 Oktober 2020 lalu dan Azmawani berpendapat ia wajar diperluas dan diteruskan.
"Sebenarnya ada yang terlepas tarikh untuk memohon. Dan ramai juga yang belum berpeluang untuk memohon kerana perniagaan mereka belum berdaftar.
"Malah ada yang lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) tamat tempoh," jelasnya.
Sejumlah 304,000 PKS Mikro dijangka menerima bantuan GKP 2.0 berjumlah RM912 juta yang dibayar mulai hari ini.
Di bawah GKP 1.0 yang diumumkan sebelum ini, lebih 545,000 PKS Mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan RM 1.63 bilion.
#PKS #ekonomi #kerajaan #peniaga #COVID-19 #Geran Khas Prihatin #peluang pekerjaan #produk #perkhidmatan #Azmawani Abd Rahman #aliran tunai
;