Geran digital: Tiada ejen, pihak ketiga dilantik

Sinar Harian
November 16, 2023 07:03 MYT
Muhammad Kamil berkata, isu Geran Digital tersebut akan diteliti lebih lanjut. - Gambar fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Madani perlu dibuat melalui laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tidak ada ejen atau pihak ketiga dilantik seperti yang didakwa oleh seorang usahawan menerusi hantaran di aplikasi X.
“Semua permohonan, kelulusan dan pengeluaran dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
“SKMM untuk mengesahkan peranti dan syarikat telekomunikasi, manakala Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengesahkan penyedia perkhidmatan teknologi.
“Kedua-duanya adalah rakan kongsi BSN untuk membantu mereka memproses permohonan geran dan memadankan dengan pembekal,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, seorang usahawan meluahkan rasa tidak puas hati melalui aplikasi X berhubung isu geran berkenaan apabila menerima barangan bernilai kurang RM1,000 berbanding RM5,000 seperti yang ditetapkan kerajaan menerusi inisiatif tersebut.
Pengguna tersebut memberitahu bahawa dia boleh memperoleh tablet, komputer riba, mesin terminal kad dan perkhidmatan sisten Electronic Point of Sale (E-Pos) menggunakan peruntukan tersebut, namun dakwanya, tablet spesifikasi rendah yang diterima hanya berharga kurang RM1,000.
Sementara itu, Muhammad Kamil menjelaskan bahawa isu Geran Digital tersebut akan diteliti lebih lanjut. - Sinar Harian
#SKMM #Muhammad Kamil Abdul Munim #Geran Digital PMKS Madan #BSN
;