GERAMM ulangi pendirian sedia kerjasama bantu siasatan polis

Astro Awani
Januari 11, 2014 14:51 MYT
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung tunjuk perasaan Protes Pensil Merah yang diadakan pada 4 Januari lalu.
Bagaimanapun ia berpendapat siasatan polis itu tidak perlu kerana perhimpunan tersebut telah "berjalan lancar, tertib dan aman".
"Kami beranggapan siasatan ini nanti (jika ada) berdiri atas alasan teknikal yang remeh dan longgar," kata GERAMM dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan longgar wartawan-wartawan dari pelbagai organisasi media itu menegaskan semula pendirian itu sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan polis akan menyiasat semua tunjuk perasaan termasuk Protes Pensil Merah.
Beliau memberikan alasan bahawa GERAMM tidak memberikan notis 10 hari sebelum penganjuran protes seperti yang disyaratkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Dalam reaksinya, GERAMM mengulangi pendirian bahawa alasan polis itu "hanyalah hujah teknikal yang remeh dan longgar selepas perhimpunan itu berlangsung secara aman, tertib dan lancar."
"Malah, anggota-anggota polis juga ditempatkan di lokasi perhimpunan bagi memantau keadaan dan dapat mengesahkan keadaan aman ini," kata kenyataan itu lagi.
GERAMM juga menjelaskan ucapan, slogan dan tindakan mereka pada perhimpunan Protes Pensel Merah itu bukan provokasi kepada sesiapa sebaliknya hanya menuntut lapan perkara berhubung kebebasan media.
"Oleh itu, GERAMM beranggapan siasatan polis nanti (jika ada) tidak relevan dan kami langsung tidak ada niat di sepanjang kempen ini menimbulkan konflik dengan kerajaan, syarikat media dan orang ramai," katanya.
GERAMM juga memaklumkan akan menyerahkan lapan tuntutan itu berserta petisyen yang ditandatangani oleh wartawan dan pensil merah yang dipatahkan sebagai simbolik protes kepada KDN dalam masa terdekat.
Antara lapan tuntutan itu ialah:
* Tarik balik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan benarkan ia beroperasi seperti biasa;
* Siasat semula dengan rapi insiden-insiden keganasan anggota-anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012;
* Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang tidak relevan lagi; malah ia dijadikan alat kawalan terhadap kebebasan pengamal media;
GERAMM juga akan meneruskan kempen pakai baju merah pada setiap Jumaat sebagai solidariti dengan akhbar mingguan The Heat yang masih digantung.
Pada masa sama, ia sedang mengatur siri dialog dan forum untuk meneruskan kempen kebebasan media sehingga sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei nanti.
GERAMM juga merancang menerbitkan buku bergambar untuk merakamkan usaha wartawan menegakkan kebebasan media sejak Merdeka.
#Gerakan Media Marah #Geramm #Protes Pensil Merah
;