GERAMM mahu Shabery Cheek bantu tangani kemelut gaji BTV, RTM

Astro Awani
Februari 16, 2015 22:17 MYT
GERAMM turut meminta pihak terlibat supaya mencari penyelasaian jangka panjang dengan secepat mungkin.
Gerakan Media Marah (GERAMM) hari ini menggesa pihak kerajaan membantu menyelesaikan permasalahan gaji yang menimpa wartawan dan kakitangan Bernama TV (BTV) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib media itu menuntut agar masalah yang melibatkan 160 pekerja BTV dan 100 pekerja RTM ditangani segera oleh semua pihak yang terbabit.
"Kenaikan kos sara hidup adalah realiti yang terpaksa ditanggung oleh hampir seluruh rakyat Malaysia, apatahlagi pekerja yang telah dinafikan hak mereka untuk menerima gaji," kata kenyataan tersebut pada Isnin.
GERAMM turut meminta pihak tersebut supaya mencari penyelasaian jangka panjang dengan secepat mungkin.
"Oleh itu, Geramm dengan ini menyeru pihak kerajaan dan khususnya Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk menyegerakan sebarang tindakan ke arah mencari penyelesaian jangka panjang bagi masalah yang berlaku.
"Mengambil kira status BTV sebagai sebuah syarikat sendirian berhad, Geramm ingin menegaskan bahawa para pemegang saham utama tidak boleh ‘lepas tangan’ dalam isu kebajikan pekerja yang terlibat," kata kenyataan itu lagi.
Dalam satu laporan Malaysiakini pada 10 Februari, seramai kira-kira 140 kakitangan diarah bercuti kerana BTV tidak mampu menanggung bayaran gaji mereka, di mana gaji terakhir yang diterima adalah pada 24 Disember.
Difahamkan nasib yang sama turut menimpa kakitangan dan wartawan RTM.
Pengurus besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh pada hari Ahad dilaporkan berkata bahawa agensi berita kebangsaan itu telah “mengambil langkah atas dasar kemanusiaan” untuk membayar gaji pekerja-pekerja terlibat bagi bulan Januari dan Februari, dengan peruntukkan sebesar RM500,000.
#Bernama TV #btv #gaji #Geramm #RTM #Shabery Cheek #wartawan
;