GERAMM kutuk tindakan polis tahan tiga pengarang TMI
Astro Awani
Mac 31, 2015 10:53 MYT
Mac 31, 2015 10:53 MYT
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengutuk tindakan polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita The Malaysian Insider (TMI) petang Isnin.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, GERAMM menyifatkan penangkapan ini sebagai tindakan keterlaluan polis terhadap media.
“Kami menganggap tindakan itu suatu bentuk ugutan dan gangguan terhadap media serta suatu bentuk penyalahgunaan kuasa untuk mendiamkan media.
“Walaupun ada laporan polis daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan kedaulatan serta kemuliaan institusi Raja-Raja kebebasan dipertahankan, media sebagai sebuah institusi di negara demokrasi di Malaysia juga perlu dipertahankan,” katanya.
Dalam kejadian jam 5.45 petang Isnin itu, 12 pegawai polis dan SKMM telah menyerbu pejabat TMI di Petaling Jaya dan menahan tiga pengarang kanannya selain merampas telefon bimbit dan komputer riba.
Mereka ditahan atas dakwaan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Sekysen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
GERAMM turut menyatakan bahawa pihak berkuasa boleh berhubung terlebih dahulu dengan media kerana sememangnya media sering memberi kerjasama dengan polis dan percaya ia boleh diselesaikan dengan pertemuan atau rundingan di antara pihak terbabit.
“Jika polis atau pihak berkaitan mempunyai sebarang masalah, mereka boleh terus berhubung dengan organisasi media terbabit tanpa perlu melakukan kekasaran atau pencabulan hak sebegini.
“Oleh itu sebarang cubaan untuk menyekat fungsi media adalah satu pencabulan terhadap hak kebebasan bersuara,” tambah kenyataan itu lagi.
GERAMM dalam pada itu turut mendesak pihak berkuasa menghentikan taktik yang disifatkan tidak selaras dengan piawaian antarabangsa.
GERAMM adalah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.