Geramm kesal petugas media dikasari

Sinar Harian
Julai 2, 2022 07:20 MYT
Geramm kesal dengan insiden kekasaran terhadap tiga petugas media dipercayai melibatkan anggota pasukan keselamatan dalam acara pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.
SHAH ALAM: Gerakan Media Merdeka (Geramm) kesal dengan insiden kekasaran terhadap tiga petugas media, dipercayai melibatkan anggota pasukan keselamatan dalam acara pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.
Geramm dalam satu kenyataan menjelaskan, seorang wartawan lelaki mendakwa telah 'ditampar' di bahagian perut, manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa 'dicengkam leher' ketika berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Kedua-dua wartawan mendakwa telah dikasari oleh pengawal peribadi atau anggota Unit Tindakan Khas yang cuba menghalang mereka dari berada di sekitar tangga pentas untuk mengambil gambar gimik pelancaran.
“Difahamkan, seorang lagi wartawan juga telah ditolak dengan kasar bagi menghalang daripada mendekati barisan pemimpin. Tidak dapat dipastikan sama ada insiden itu melibatkan individu yang sama atau berbeza.
“Sejurus insiden berlaku, difahamkan pegawai kepada salah seorang pemimpin terbabit telah meminta media untuk naik ke pentas utama bagi sesi sidang media,” menurut kenyataan itu.
Geramm turut menegaskan, sebarang bentuk kekasaran terhadap wartawan termasuk secara fizikal adalah salah dan tidak boleh diterima.
Jelasnya, hak wartawan untuk menjalankan tugas membuat liputan secara bebas dan adil (free and fair) harus dilindungi oleh semua pihak, termasuk melalui peruntukan undang-undang.
“Semua wartawan bertanggungjawab untuk memakai tanda pengenalan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan diharap pihak pasukan keselamatan dalam mana-mana acara akan memberi ruang yang diperlukan (kepada petugas media) untuk menjalankan tugas membuat liputan, termasuk mengambil gambar dan video.
“Geramm telah menghubungi salah seorang pegawai pemimpin terlibat dan difahamkan tindakan lanjut akan diambil bagi mengesahkan identiti individu tersebut.
"Kami bersolidariti!” jelas kenyataan itu. -Sinar Harian
#Gerakan Media Merdeka #anggota pasukan keselamatan #insiden kekasaran terhadap tiga petugas media #pelancaran Perikatan Nasional Kelantan
;