GERAMM kesal insiden ahli keluarga MH17 tumbuk petugas media

Media Statement
September 2, 2014 14:59 MYT
GERAMM kesal insiden keluarga nahas MH17 tumbuk jurugambar NST - Gambar fail
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengesali kejadian yang menimpa jurugambar akhbar New Straits Times Aizuddin Saad yang membuat liputan ketibaan abu mangsa nahas pesawat MH17 dari Amsterdam di Nirvana Memorial Centre Sungai Besi hari ini.
Dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini, GERAMM walaupun memahami kesedihan dan penderitaan keluarga mangsa, GERAMM merasakan adalah amat tidak patut bagi mana-mana pihak untuk melakukan sebarang bentuk keganasan ke atas pengamal media yang sedang bertugas.
"Berdasarkan rakaman video dan gambar dari tempat kejadian, Aizuddin dilihat mengalami kecederaan di bahagian muka dan kerosakan pada kamera akibat ditumbuk oleh salah seorang anggota keluarga mangsa.
"Dalam rakaman video kejadian tersebut, kelihatan seorang anggota keluarga mangsa meluru dan menumbuk muka Aizuddin yang berada bersama sekumpulan jurugambar bertugas," jelas kenyataan itu.
GERAMM adalah perkumpulan longgar pengamal-pengamal media yang mula digerakkan susulan kontroversi penggantungan permit akhbar mingguan The Heat.
Dalam pada itu kenyataan itu menambah, liputan nahas MH17 (juga mana-mana liputan tragedi) diakui amat menguji tahap profesionalisme pengamal media dalam menjaga sensitiviti keluarga terlibat.
Sehubungan itu kenyataan itu turut meminta masyarakat agar dapat saling memahami dan bekerjasama dengan pengamal media yang hanya menjalankan tugas mereka tanpa perlu menambah beban yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa.
#abu #Amsterdam #Geramm #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Nirvana #Rusia
;