Geramm harap kemelut di Harakah berakhir dengan damai

Astro Awani
Januari 8, 2015 17:27 MYT
Nilai kebebasan media perlu diangkat, tidak hanya melukut di tepi gantang. - Sumber Foto Facebook
Isu melibatkan Lembaga Pengarah Harakah dan pengarangnya turut mendapat perhatian Gerakan Media Marah (Geramm) yang bimbang isu permintaan supaya Lutfi meletak jawatan dibuat atas motif lain, bukan atas faktor kesihatan.
Penyelaras Geramm Fazallah Pit berkata pihaknya khuatir wujud unsur penindasan melalui tekanan politik dalaman tetapi berselindung atas alasan lain termasuk faktor kesihatan.
"Sekalipun Harakah adalah akhbar kepartian, kebajikan kakitangan, sama ada berpangkat tinggi mahupun rendah harus dipelihara sebaik-baiknya.
"Pada masa sama, nilai kebebasan media perlu diangkat, tidak hanya melukut di tepi gantang.
"Apatah lagi, ia membabitkan pemilik organisasi penerbitan yang turut sama melaungkan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap kemelut itu berakhir dengan damai tanpa menjejaskan kewibawaan akhbar, pemilik organisasi mahupun kakitangan editorialnya.
#Geramm #Harakah #PAS
;