Geramm gesa MCMC perjelas dakwaan sekatan ke atas Utusan TV
Firdaus Azil
Ogos 8, 2023 11:50 MYT
Ogos 8, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Gerakan Media Merdeka (Geramm) hari ini menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar memberikan penjelasan berkaitan mekanisme sekatan yang dikenakan terhadap sebarang laman sesawang, khususnya portal-portal berita dalam talian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm berkata, ia memetik laporan Malaysia Kini bahawa Utusan TV telah disekat melalui kaedah “DSN Tampering” yang menyebabkan portal UtusanTV tidak dapat dilayari oleh sebahagian pengguna dari syarikat telekomunikasi tertentu.
Sekatan yang sama juga sebelum ini, kata badan itu lagi, telah dikenakan terhadap portal MalaysiaNow, dan sehingga hari ini tidak ada penjelasan terbuka dari MCMC berhubung hal tersebut.
“'DNS tampering' adalah cara biasa yang digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian, termasuk pornografi, judi online dan kekerasan melampau.
“Geramm menegaskan pendirian bahawa langkah tapisan (censorship) tersebut tidak seharusnya digunakan untuk menyekat sebarang bentuk berita, rencana atau pendapat,” katanya lagi, dan berpendapat MCMC perlu mempunyai mekanisme yang jelas dalam mengambil sebarang langkah sekatan kandungan dalam talian, terutama apabila melibatkan portal-portal berita.
Tindakan untuk memberi notis atau peringatan kepada pihak media berkaitan juga, tambah Geramm lagi, perlu dilakukan sebelum sekatan dikenakan.
“Setakat ini dalam dua kejadian dilaporkan, pihak editorial berkaitan tidak diberi sebarang pemberitahuan bahawa laman web mereka telah disekat, atau alasan sekatan dibuat.
“Adalah agak pelik apabila pihak MCMC sebaliknya bertindak untuk "menyiasat" aduan yang dibuat oleh pengurusan media yang disekat, sedangkan perlu ada alasan jelas sebelum sekatan dibuat, dan tidak ada pihak berkuasa lain yang boleh mengambil tindakan sedemikian,” menurut kenyataan itu lagi.