Geramm bimbang ordinan kekang berita tidak benar beri kesan kepada media

Astro Awani
Mac 11, 2021 21:17 MYT
Geramm menuntut agar segala peraturan seperti yang telah diwartakan tidak digunakan untuk menindas atau senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Gerakan Media Merdeka (Geramm) bimbang Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 untuk mengekang berita tidak benar berkait COVID-19 akan disalahguna sekali gus memberi kesan negatif terhadap kebebasan media.
Memetik kenyataan Geramm, penggubalan undang-undang itu juga dilihat agak kontroversi, mengambil kira pertikaian tentang keperluan pengistiharan darurat dalam situasi ketidakpastian status majoriti pemerintah.
"Geramm menuntut agar segala peraturan seperti yang telah diwartakan tidak digunakan untuk menindas atau senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan.
"Kedaaan ini juga menyukarkan media untuk melaksanakan tugas sebagai penyemak imbang sekiranya peraturan ini disalahgunakan untuk melindungi perbuatan pihak-pihak tertentu," memetik kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, pihak Geramm turut bimbang dengan peraturan tersebut kerana ia tidak digubal oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.
Malah, Geramm mengulangi pendirian mereka yang menentang penggubalan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, sebaliknya kempen melawan berita palsu adalah melalui fakta, bukan akta.
"Antara lain kami secara konsisten menyokong apa-apa inisiatif semak fakta, terutama di masa pandemik yang menyaksikan banyak kekeliruan tercetus akibat perkongsian fakta tidak benar," katanya.
Sumber Facebook GerakanMediaMarah
Memetik ordinan itu, mana-mana orang yang, melalui apa-apa cara, dengan niat untuk menyebabkan, atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, atau kepada mana-mana golongan orang awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
#Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu #Semak Imbang #Semak Fakta #sebar berita tidak benar #hukuman sebar berita tidak benar #berita palsu #pandemik #Geramm #Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018
;