Gerakan umum keluar Barisan Nasional
Astro Awani
Jun 23, 2018 16:02 MYT
Jun 23, 2018 16:02 MYT
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengumumkan keluar dari Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.
Keputusan tersebut diambil selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC) mengambil kira senario politik pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) serta sentimen akar umbi.
"Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh serta serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca PRU-14.
"Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli," kata parti itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Keputusan Gerakan itu menyaksikan BN kini hanya bertahan dengan tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC berbanding 13 parti komponen sebelum PRU14.
Menurut kenyataan itu, Gerakan perlu merangka perjalanan baru dengan bebas bagi memperjuangkan apa yang terbaik untuk Malaysia.
Parti itu bagaimanapun tidak akan menyertai Pakatan Harapan.
"Kami keluar BN di bawah suasana yang baik, Gerakan akan memainkan peranan sebagai sebuah parti bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan.
"Kami akan bekerjasama dengan parti, invididu dan kumpulan yang berkongsi fahaman serta perjuangan sama atas kepentingan nasional untuk memartabatkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Gerakan sentiasa menjunjung idealisme politik, prestasi dan integriti sebagai aset selain menjadi perintis liberalisme, kepelbagaian kaum dan pragmatisme dalam politik Malaysia sekali gus berusaha memainkan peranan dalam sistem multi-parti yang matang.