Gerakan tawar cari stadium untuk penganjur perhimpunan Bersih 5

T K Letchumy Tamboo
Ogos 9, 2016 13:52 MYT
Pemuda Gerakan hari ini menawarkan bantuan mencari stadium yang sesuai kepada Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan Bersih 5.0.
Pemuda Gerakan hari ini menawarkan bantuan kepada Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) untuk mencari stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan Bersih 5.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata tawaran tersebut adalah kerana parti itu berpendapat bahawa sekiranya perhimpunan itu diadakan di dalam sebuah stadium, ia tidak akan mengganggu keselamatan awam.
Katanya, keputusan mendapatkan stadium bagi tujuan perhimpunan itu adalah untuk kebaikan semua orang dan tidak bermotifkan politik.
“Pihak pemuda Gerakan berharap Bersih 2.0, akan secara logik dan pemikiran terbuka akan pertimbangkan benda ini dan saya harap mereka akan terima tawaran kami untuk membuat perhimpunan itu dalam stadium.
“Ini bukan cakap biasa sahaja. Pemuda Gerakan akan membantu anda mendapatkan stadium.
“Saya rasa semua pihak harus bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara kita,” kata Tan dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Tan berkata pihaknya telah pun menghantar surat kepada pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah semalam untuk memberi cadangan mengenai perkara itu.
Katanya, cadangan ini adalah juga seperti ‘tanda persahabatan’ kepada Bersih.
Tambahnya tawaran tersebut turut terbuka kepada pihak Baju Merah yang boleh menyertai perhimpunan Bersih di dalam stadium.
"Pemuda Gerakan tidak peduli apa warna, merah, kuning, ungu, merah jambu. Sila berhimpun dalam stadium. Jadi tawaran ini adalah untuk semua,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh perhimpunan Bersih 5.0 yang belum lagi diumumkan itu, Tan berharap ia tidak akan diadakan pada bulan Merdeka dan sebaliknya diadakan hanya selepas Hari Malaysia pada 16 September.
#Bersih 5.0 #GERAKAN #Maria Chin Abdullah #Tan Keng Liang
;