Gerakan Suara Orang Kampung rancang Demonstrasi Baling 2.0 April depan

Irwan Muhammad Zain
Mac 6, 2014 17:44 MYT
Kumpulan yang menamakan diri mereka Gerakan Suara Orang Kampung merancang untuk mengadakan Demonstrasi Baling 2.0 pada April depan bagi membela nasib penoreh-penoreh gerah yang sedang menghadapi penurunan harga getah.
Sebagai permulaan, gerakan ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia mendesak kerajaan menetapkan harga lantai RM4.00 sekilogram getah.
Memorandum tersebut diserahkan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat mewakili Gerakan Suara Orang Kampung yang dilancarkan hari ini.
Dalam kenyataannya, Suhaizan berkata gerakan tersebut ditubuhkan kerana Pemuda PAS menyedari keperitan hidup petani, peternak dan nelayan.
"Mereka bekerja pada skala yang kecil, kekurangan modal dan sering tertindas. Pendapatan yang mereka perolehi tidak seimbang dengan kenaikan harag barang sekarang. Sebahagian daripada mereka berada di bawah paras kemiskinan," katanya.
Gerakan Suara Orang Kampung juga merancang mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bermula 11 Mac nanti di Selangor.
Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak dilantik sebagai pengerusi Gerakan Suara Orang kampung.
#Gerakan Suara Orang Kampung #Leman Raja Lawak #nelayan #petani #peternak #Suhaizan Kaiat