Gerakan sarankan kerajaan kekalkan hukuman mati atas kesalahan jenayah kejam
Fareez Azman
Jun 13, 2022 14:09 MYT
Jun 13, 2022 14:09 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini menyarankan agar hukuman mati dikekalkan ke atas pesalah kes jenayah kejam seperti rogol dan bunuh serta rompakan berkumpulan.
Menurut Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong, jenayah seumpama itu perlu mendapatkan hukuman setimpal terutama melibatkan kes kehilangan nyawa mangsa.
"Kita setuju dengan langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori seperti kes pengedaran dadah.
"Pemansuhan ini dilihat kerajaan mahu ke hadapan dalam soal kemanusiaan dan kami berpandangan hukuman mati juga akan dihapuskan secara total suatu hari nanti.
"Namun, kami juga berpandangan hukuman mati masih lagi relevan untuk beberapa kes jenayah. Kita pernah dikejutkan dengan tragedi meragut nyawa seperti kes Noor Suzaily Mukhtar dan Canny Ong yang dibunuh dengan kejam," jelasnya.
Tambah Kah Keong, penelitian khusus perlu dijalankan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori oleh kerajaan bagi beberapa kategori jenayah.
Malah Gerakan, jelasnya, akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi mengkaji keputusan itu serta membincangkan cadangan hukuman gantian yang sesuai untuk pertimbangan kerajaan.
"Pada dasarnya kami bersetuju dengan langkah akan dilaksanakan kerajaan, namun berpandangan perlu penelitian khusus mengenai perkara itu.
"Ada jenayah yang memerlukan hukuman mati agar keadilan benar-benar diberikan kepada mereka yang terpaksa melalui tragedi ini.
"Gerakan akan mengadakan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara berkenaan, khususnya berkaitan hukuman gantian apabila hukuman mati mandatori dimansuhkan secara langsung," katanya lagi.
Kerajaan pada Jumaat mengumumkan permansuhan hukuman mati mandatori di negara ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.