Gerakan persoal dakwaan Guan Eng sumber pendapatan negeri daripada cukai tanah
Bernama
Januari 10, 2017 08:21 MYT
Januari 10, 2017 08:21 MYT
Gerakan mempersoalkan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kononnya sumber pendapatan negeri itu adalah melalui kutipan cukai tanah.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata berdasarkan seperti yang dinyatakan dalam satu Laporan Ketua Audit Negara, hasil negeri itu sebaliknya adalah daripada penjualan tanah.
Laporan Ketua Audit Negara berkenaan menjelaskan perkara itu adalah hasil daripada penjualan tanah antara tahun 2008 hingga 2015 yang berjumlah RM1.22 bilion, katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan pada Isnin.
Katanya angka itu lebih tinggi daripada lebihan negeri terkumpul sebanyak RM574 juta.
Liang yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata angka-angka berkenaan tidak termasuk pelbagai aset lain yang dijual oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Liang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menerima bayaran untuk jualan tanah daripada PDC sebanyak RM173.5 juta antara tahun 2013 dan 2015.
Dakwanya, ini bermakna, hasil jualan tanah negeri kini berjumlah RM1.4 bilion.
"Secara jelasnya, ia (jumlah itu) adalah tidak mencukupi untuk membayar peningkatan besar dalam perbelanjaan pentadbiran kerajaan DAP di Pulau Pinang. Apa yang menunjukkan peningkatan pesat adalah hasil premium tanah menerusi pemberian hak milik yang meningkat setiap tahun daripada RM19 juta pada 2008 kepada RM324 juta pada 2015," kata beliau.
Lim dalam satu kenyataan pada 4 Jan lepas berkata Liang tidak boleh menggabungkan hasil jualan PDC sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan negeri.
-- BERNAMA