Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu landasan penting ingatkan guru tentang etika

Bernama
Mac 30, 2022 05:03 MYT
Radzi (tengah) bergambar selepas menyampaikan sijil pengiktirafan 'Focal Person' semasa perasmian Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu di sebuah hotel di Kuala Nerus malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu yang dilancarkan pada malam tadi, perlu menjadi landasan untuk mengingatkan para guru mengenai etika, integriti dan profesionalisme dalam profesion mereka.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata golongan pendidik, harus sentiasa menyedari bahawa profesion mereka amat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
"Guru-guru menyemai bakti, menabur budi dan akhirnya melahirkan satu generasi demi satu generasi, yang mana setiap generasi itu adalah generasi yang akan mengemudi negara ke arah lebih baik.
"Dalam konteks kita memperingati jasa guru dan kepentingan ilmu, saya ingin mengajak guru-guru untuk terus pertahankan profesion guru ini, kerana dalam kalangan masyarakat profesion ini amat dihormati," katanya ketika berucap melancarkan Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu, sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022, di sini malam tadi.
Katanya gerakan yang mula diperkenalkan pada 2018 tersebut, merupakan sebahagian pendekatan untuk membawa masyarakat bersama-sama menginsafi segala pengorbanan, jasa dan ilmu yang dicurahkan oleh guru, kepada anak didik mereka.
Pada majlis tersebut, Radzi turut mengumumkan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini adalah 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata selain penyediaan lokar di sekolah rendah, kementerian juga sedang memperincikan untuk menghadkan jumlah mata pelajaran, bagi mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa oleh murid.
"Jumlah mata pelajaran satu hari sampai tujuh atau enam mata pelajaran. Kementerian sudah bincang dengan pihak sekolah untuk pastikan mata pelajaran dihadkan tiga atau empat sehari, kita guna pendekatan masa yang kita ajar lebih atau ikut minggu, untuk pastikan mata pelajaran setiap hari dapat dikurangkan supaya jumlah buku juga dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Katanya jumlah mata pelajaran tersebut, merupakan antara tujuh ketetapan diperincikan Kementerian Pendidikan (KPM), yang bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat dihadapi murid.
-- BERNAMA
#Radzi Jidin #Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu #Hari Guru #Guru Tunjang Sekolah Sejahtera
;