Gerakan mahasiswa perlu manfaat kemudahan, ruang tersedia perjuangkan aspirasi rakyat - PM Anwar
Bernama
Julai 22, 2023 21:35 MYT
Julai 22, 2023 21:35 MYT
KUALA LUMPUR: Gerakan mahasiswa harus memanfaatkan kemudahan dan ruang yang disediakan kerajaan dalam usaha memperjuangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan, rakyat dan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemudahan dan ruang yang tersedia ketika ini jauh lebih baik berbanding ketika beliau mengetuai gerakan mahasiswa suatu ketika dahulu.
"Dahulu kita teraba-raba mencari petunjuk dan ruang untuk membawa suara rakyat tetapi kini sudah ada para ilmuan, ustaz dan pensyarah yang boleh dijadikan rujukan.
Sebab itu, janganlah kita mengeluh, berleter itu ini, sebaliknya gunakan kemudahan yang tersedia dengan sebaiknya supaya kita dapat tingkatkan perjuangan membela nasib rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Komuniti dan Mahasiswa Malaysia MADANI bersempena Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2023 di Universiti Malaya di sini, hari ini.
Majlis anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Anwar yang pernah menjadi Presiden PKPIM dari 1968 hingga 1972 berkata mahasiswa yang terlibat dalam berpersatuan seharusnya meneruskan tradisi menguasai terbitan ilmiah, satu keistimewaan dan keunikan gerakan mahasiswa yang dipertahankan sejak dahulu.
Beliau berkata gerakan mahasiswa biasanya akan membuat kajian dan rujukan bahan ilmiah sebelum sesuatu isu diperjuangkan dan hanya mereka yang menguasai tradisi ilmu layak menjadi juru bicara rakyat.
"Jika tradisi ilmu sebegini tidak diteruskan gerakan mahasiswa hanya akan menang jeritan dan prinsip asal perjuangan tidak tercapai," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi kenapa beliau mengimarahkan Seri Perdana, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya dengan pelbagai majlis ilmu sejak dilantik mengetuai kerajaan.
Perdana Menteri berkata di sebalik pelbagai hinaan dan cercaan yang diterima termasuk tohmahan menggadaikan agama, beliau terus komited memartabatkan dan mengembangkan syiar Islam, antaranya dengan menjadikan Seri Perdana sebagai lokasi perkongsian ilmu oleh tokoh-tokoh ternama dari dalam dan luar negara.
"Kenapa? Jawabnya ini kerana saya mempunyai tanggungjawab meningkatkan mutu kefahaman mengenai Islam dalam kalangan masyarakat dan sebab itu saya tampilkan pelbagai tokoh dengan pelbagai latar belakang ilmu," katanya.
-- BERNAMA