Gerakan koperasi perlu berani terokai teknologi hijau
Astro Awani
Januari 17, 2022 23:29 MYT
Januari 17, 2022 23:29 MYT
KUALA LUMPUR: Gerakan koperasi di negara ini perlu mengambil langkah berani dalam menerokai teknologi hijau seiring dengan peralihan minat masyarakat dunia ketika ini.
Usaha tersebut juga sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan teknologi hijau menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan mampan.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, banyak produk terhasil daripada inovasi teknologi hijau seperti kertas, tisu, makanan haiwan ternakan dan baja dapat dimanfaatkan gerakan koperasi dalam konteks model perniagaan baharu itu.
Jelasnya, peluang yang diberikan kepada koperasi melalui inisiatif swasta seperti ini dapat memperlihat keberanian koperasi seperti Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dan Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad (KOSETIA) untuk melibatkan diri dalam pelaburan berkonsepkan teknologi hijau dan mampan.
“Saya mengharapkan usaha yang direncanakan ini akan membuahkan hasil yang baik demi kebaikan seluruh koperasi di negara ini.
“Usaha ini melibatkan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing dan dengan muafakat kerjasama melibatkan kepakaran pelbagai akan mencetuskan impak memberi kesan jangka panjang kepada gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Peluang Pemilikan Saham Dalam Syarikat Tersenarai Awam untuk Koperasi dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek (MoU) Pembangunan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Bahan Buangan Kelapa Sawit Seluruh Negara, Petaling Jaya pada Isnin.
Sesi menandatangani itu membabitkan antara Nextgreen Global Berhad, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC); KOOP Sahabat dan KOSETIA.
Ujarnya lagi, pemimpin koperasi berpeluang untuk meneliti satu lagi peluang iaitu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai awam iaitu Syarikat Nextgreen Global Berhad dan mempelopori teknologi hijau inovatif dengan menerapkan konsep sifar sisa dalam bentuk lestari serta sedang membangunkan Taman Teknologi Hijau (GTP) yang berkeluasan 410 ekar di Pekan, Pahang.
GTP yang dibangunkan oleh Nextgreen ini dilengkapi dengan teknologi bersepadu (integrated technology) yang bermatlamat untuk memacu perkembangan ekonomi hijau dalam negara dan menjadi satu peluang besar terbuka untuk koperasi.
“Malah, penglibatan MGTC, agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memperkasakan pertumbuhan hijau, di samping menangani perubahan iklim ke arah kelestarian alam sekitar dilihat mampu berperanan untuk menjadi pemangkin kepada kejayaan projek yang dibangunkan syarikat ini.
“Pemikiran baharu dalam kalangan pemimpin koperasi iaitu keupayaan untuk memperbaharui model perniagaan koperasi masing-masing berdasarkan senario semasa memberikan impak besar terhadap perkembangan ekonomi semasa,” katanya.