Gerakan koperasi membangun pesat hasil kerjasama pelbagai agensi - Ewon

Bernama
Mac 4, 2024 06:20 MYT
Ewon berkata gerakan koperasi juga berjaya mencapai pelbagai kejayaan sejak lebih 10 tahun ini. - Foto fail/BERNAMA
SEMPORNA: Gerakan koperasi negara membangun pesat hasil kerjasama erat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan pelbagai agensi antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata gerakan koperasi juga berjaya mencapai pelbagai kejayaan sejak lebih 10 tahun ini termasuk menceburi pelbagai sektor ekonomi yang berjaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM17 bilion.
"Gerakan koperasi juga berjaya menjana aset berjumlah RM161 bilion dan perolehan mencecah RM40 bilion," katanya dalam kenyataan selepas sesi libat urus bersama dengan pengiat koperasi daerah Semporna sempena Lawatan Jejak Koperasi di Koperasi Kurnia Berhad di sini, pada Isnin.
Beliau berkata kejayaan itu turut disumbang oleh koperasi-koperasi di Sabah iaitu negeri kedua tertinggi bilangan koperasi di Malaysia dengan 1,765 koperasi termasuk 72 koperasi membabitkan 16,379 anggota di Semporna.
"KUSKOP melalui SKM dan IKMa akan meneruskan usaha untuk menyediakan bantuan dari segi kewangan dan latihan kepada koperasi-koperasi," katanya menambah setakat 30 Jun lalu bilang koperasi di Malaysia turut melonjak kepada 15,556 koperasi dengan 7.3 juta anggota.
Sementara itu katanya SKM akan membuka pejabat baharu cawangan Semporna pada tahun ini bagi memudahkan penduduk sekitar berurusan serta mendapatkan maklumat mengenai koperasi.
Ewon berkata keputusan itu merupakan maklum balas kementerian berhubung permintaan daripada para koperator di daerah itu semasa sesi libat urus sempena Lawatan Jejak Koperasi di Koperasi Kurnia Berhad pada Isnin.
-- BERNAMA
#SKM #usahawan #koperasi #maklum balas
;