Gerakan koperasi bantu tangani masalah kos sara hidup - Ewon
Bernama
November 21, 2023 04:33 MYT
November 21, 2023 04:33 MYT
PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) dilihat sebagai usaha membudayakan koperasi dalam kalangan masyarakat bagi menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata pihaknya berhasrat agar lebih banyak koperasi ditubuhkan terutama dalam kalangan B40, Orang Kurang Upaya, miskin bandar, masyarakat luar bandar dan pedalaman serta Orang Asli atau Orang Asal bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat.
"Selain itu penyertaan dalam kalangan profesional, belia dan penjawat awam juga amat penting memandangkan golongan ini dapat bertindak sebagai penyumbang idea dan pandangan dalam memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.
"Saya amat yakin, dengan adanya penyertaan segenap lapisan masyarakat, ia dapat mencorak masa depan gerakan koperasi yang lebih cemerlang," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Program MASKOP bersama Co-op Bank Pertama di sini pada Selasa.
Ewon berkata bagi koperasi penjawat awam, antara contoh yang berjaya adalah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad, yang menjalankan aktiviti kredit, Ar Rahnu, stesen minyak, kedai runcit dan sebagainya dengan keanggotaan seramai 3,914 orang.
"Pada 2022, koperasi ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM49.2 juta dan tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata setakat ini jumlah penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi dijangka terus meningkat susulan kesedaran berhubung kepentingan sektor tersebut sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan melalui beberapa program lain.
"Antara usaha sedang dilakukan kerajaan adalah melalui program MASKOP dengan kerjasama beberapa badan seperti Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan terbaharu bersama Co-op Bank Pertama (CBP) yang dilancarkan hari ini.
"Saya amat yakin dengan adanya program seperti ini maka bilangan itu sepatutnya bertambah, tetapi harus diakui juga bahawa terdapat koperasi-koperasi yang sekian lama tidak aktif dan telah diusahakan untuk diaktifkan semula," katanya.
Katanya laporan berhubung jumlah keseluruhan peningkatan serta prestasi program MASKOP tahun ini akan dibuat selepas 31 Dis dan akan dibentangkan selewat-lewatnya pada Februari tahun hadapan.
-- BERNAMA