Gerai lemang di Kijal sunyi
Nur Fazlizai Ali
Jun 30, 2021 08:15 MYT
Jun 30, 2021 08:15 MYT
KEMAMAN: Lengang dan sunyi itulah suasana di deretan gerai jualan lemang di Kijal, Kemaman yang sebelum ini meriah yang sering kali menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan lemang yang tidak bermusim itu.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak Mei lalu sekali gus merubah keriuhan dan kemeriahan kawasan yang terkenal dengan jolokan wilayah lemang itu.
Menurut seorang peniaga Zabidah Ismail, lazimnya lokasi jualan yang terletak berhampiran jalan utama itu meriah dengan pelanggan untuk mendapatkan makanan yang berasaskan beras dan pulut untuk dijadikan buah tangan dan sebaliknya.
Namun kemeriahan dan kerancakan sektor jualan itu telah diragut sekaligus menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas.
Katanya jika sebelum ini dia mampu menjual lebih 100 batang lemang sehari namun kini untuk menghabiskan 40 batang lemang sehari amat sukar.
"Dulu berniaga beratus-ratus batang lemang boleh habis tapi kini hanya boleh buat dalam 15 kilogram beras, dulu dalam 30 kilogram.
"Saya tak pandai berniaga dalam talian, cuma harapkan pelanggan dekat-dekat sahaja," ujarnya.
Zabidah berkata dia bersama suaminya hampir 28 tahun bergelumang dengan kepulan asap dan api yang menjadi sumber pendapatan utamanya.
Katanya menerusi hasil perniagaan lemang berkenaan dia membesarkan empat anaknya yang berusia 23 hingga 13 tahun.
Namun kini rutin itu terpaksa dilakukan sendiri ada kala dibantu anaknya selepas suaminya disahkan menghidap penyakit jantung.
Zabidah turut meluahkan kebimbangan jika keadaan itu berterusan sekaligus menyaksikan punca pendapatannya akan terus merosot.
Zabidah berkata kira-kira jam 8 pagi dia akan membanting tulang empat keratnya untuk memulakan perniagaan.
Walaupun hasil jualan merosot lebih 50 peratus namun dia tetap membuka gerainya memandangkan banyak komitmen yang perlu dijelaskan.