Gerai jualan durian diberi kebenaran beroperasi di Pulau Pinang
Astro Awani
Jun 2, 2020 19:11 MYT
Jun 2, 2020 19:11 MYT
Berita baik buat peniaga dan penggemar durian di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri mengumumkan gerai jualan raja buah itu di tepi-tepi jalan dibenarkan beroperasi semula, bermula Selasa.
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, semua pemilik gerai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, buat masa ini, peniaga hanya boleh menjual durian yang telah dibungkus dalam bekas, manakala pelanggan tidak dibenarkan makan di gerai tersebut.
"Kita akan benarkan gerai-gerai yang menjual durian di tepi jalan untuk jual secara beli dan bawa pulang dalam fasa pertama kebenaran ini.
"Pada masa sama, kita akan kaji pelan jangka sederhana dan panjang membabitkan jualan durian ini.
"Kebenaran ini adalah sebahagian daripada Strategi Pemulihan Berperingkat yang dilaksanakan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk merancakkan semula ekonomi," katanya selepas mengadakan tinjauan di sebuah gerai durian tepi jalan di Lorong Susu, Georgetown pada Selasa.
Katanya terdapat kira-kira 100 gerai durian tepi jalan di Pulau Pinang.
Sebelum ini katanya, kerajaan negeri hanya membenarkan penjual durian berlesen menjual durian di beberapa pasar awam di negeri ini.
#berita baik
#D24
#durian
#ekonomi
#gerai
#jualan
#kampung
#kerajaan
#Musang King
#operasi
#penggemar durian
#peniaga
#raja buah