George Town dikenali semua, tiada keperluan tukar nama - Wong

Bernama
Julai 17, 2024 12:45 MYT
Tiada sebarang isu berkaitan nama tempat dan keperluan untuk menukar nama ibu negeri Pulau Pinang itu. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: George Town telah dikenali seluruh rakyat Malaysia dan dunia sekian lama, justeru tiada sebarang isu berkaitan nama tempat dan keperluan untuk menukar nama ibu negeri Pulau Pinang itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata nama George Town juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.
"Pengiktirafan antarabangsa itu menegaskan kedudukan George Town sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia yang menarik pengunjung dari seluruh dunia.
"Nama George Town telah dikenali sejak sekian lama dan tiada sebarang isu yang timbul berkenaan dengan nama tempat tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas kenyataan Pas Pulau Pinang yang menggesa kerajaan negeri mengembalikan nama asal George Town, iaitu Tanjung Penaga yang menurutnya melambangkan 'identiti Malaysia'.
Wong menjelaskan nama Tanjong telah diangkat ke Dewan Rakyat dan dinamakan sebagai satu daripada kawasan Parlimen di Pulau Pinang.
Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum nama Pulau Pinang menjadi popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis.
Dipercayai nama atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan hingga tahun 1800.
Portal itu memaklumkan sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada bandar George Town.
-- BERNAMA
#George Town #rakyat Malaysia #pelancongan #Wong Hon Wai #Unesco #Tanjung Penaga
;