Genting Hong Kong muflis: Anwar persoal bagaimana pinjaman tanpa jaminan diberi dengan mudah

Rahimah Abdullah
Januari 27, 2022 21:14 MYT
Anwar mempersoalkan bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat itu boleh diberi dengan mudah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Menteri Kewangan segera menjawab persoalan mengapa tiga bank Malaysia dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada masa sama mempersoalkan bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat itu boleh diberi dengan mudah.
"Ini adalah kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.
"Walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia,"katanya melalui entri terbaharu di laman Facebooknya pada Khamis.
BACA: Genting Hong Kong muflis tidak beri impak kepada ekonomi Malaysia - Azmin
Media sebelum ini melaporkan tiga bank Malaysia dinamakan sebagai antara pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan sebanyak USD600 juta (RM2.5 bilion).
Anwar turut menuntut Menteri Kewangan menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 bilion itu akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.
"Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang," ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Hong Kong #Genting Hong Kong #Menteri Kewangan
;