Genting Dream akan belayar dari Singapura ke Malaysia bermula Julai
Bernama
Jun 7, 2022 05:45 MYT
Jun 7, 2022 05:45 MYT
SINGAPURA: Resorts World Cruises, jenama kapal persiaran mewah dan gaya hidup dinamik pada Selasa mengumumkan kapal utamanya, Genting Dream, akan belayar dari Singapura ke destinasi antarabangsa bermula 1 Julai dan seterusnya.
Ia termasuk pelayaran ke Kuala Lumpur dan Melaka (menerusi Port Dickson) dan Pulau Pinang di Malaysia serta Kepulauan Bintan dan Batam di Indonesia.
"Kami akan terus menambah lebih banyak lagi destinasi popular ke Phuket dan Krabi di Thailand dam North Bali di Indonesia bermula Oktober 2022 dan seterusnya bagi menyediakan kepada pelanggan kami dengan lebih banyak pilihan destinasi," kata presiden Resorts World Cruises, Michael Goh, dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Goh mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand atas sokongan berterusan mereka dalam melancarkan destinasi pelayaran dengan Resorts World Cruises.
Menurut kenyataan itu, pesiaran tiga malam Kuala Lumpur dan Melaka (menerusi Port Dickson)-Pulau Pinang akan belayar bermula 3 Julai dan seterusnya dan kemudiannya pesiaran dua malam Kuala Lumpur dan Melaka (menerusi Port Dickson) akan belayar pada Rabu.
Destinasi pertama pelayaran adalah pada 1 Julai dengan pesiaran dua malam di Kepulauan Bintan dan Batam yang belayar pada Jumaat.
-- BERNAMA