Genosid: Malaysia ulangi sokongan kepada Gambia

Bernama
Januari 23, 2020 06:14 MYT
Tun Khin (kanan), Presiden Pertubuhan Rohingya Burma UK dan Yasmin Ullah (kiri), seorang warga Rohingya, di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda, 23 Jan, 2020. (Foto AP)
Malaysia menganggap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk meluluskan langkah-langkah sementara yang dimohon oleh Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, sebagai hala tuju yang betul untuk menangani keadaan kaum Rohingya.
Wisma Putra berkata Malaysia juga mengulangi sokongannya terhadap Gambia, yang membawa kes berkenaan kepada ICJ, selaras dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Ad Hoc Jawatankuasa Kementerian berhubung Pelanggaran Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam.
Dalam satu kenyataannya di sini lewat malam tadi, Wisma Putra berkata sebagai anggota jawatankuasa itu, dan juga negara anggota Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948, Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah konvensyen itu bagi memastikan krisis tidak berlarutan.
"Keputusan itu mencerminkan kebimbangan serius komuniti antarabangsa terhadap keperluan menangani dengan efektif penderitaan yang dialami Rohingya, di samping menampilkan akauntabiliti serta keadilan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang serius terhadap kaum Rohingya.
"Kira-kira 100,000 pelarian Rohingya kini berada di Malaysia, yang meninggalkan Myanmar susulan krisis yang melanda," menurut kenyataan itu.
Agensi berita Turki, Anadolu, sebelum ini melaporkan Mahkamah Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengeluarkan satu perintah dalam kes yang membabitkan pertuduhan bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap minoriti Islam Rohingya di negara itu.
Ketika mengeluarkan perintah itu dalam kes yang difailkan Gambia bulan lepas, Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf memberikan tempoh empat bulan kepada Myanmar untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan memastikan agar etnik Rohingya di negara itu tidak diapa-apakan.
Wisma Putra berkata Malaysia akan melihat dengan penuh minat prosiding ICJ berikutnya berhubung permohonan Gambia berhubung lima perkara.
"Ia terdiri daripada pengisytiharan Myanmar sebagai melanggar obligasi di bawah Konvensyen Genosid; untuk menghentikan segera apa-apa perbuatan salah yang sedang berlaku dan menghormati sepenuhnya obligasinya di bawah Konvensyen Genosid.
"Juga bagi memastikan orang yang melakukan genosid dihukum oleh tribunal yang kompeten; untuk melaksanakan kewajipan membayar ganti rugi demi kepentingan mangsa perbuatan genosid yang merupakan dari kaum Rohingya; dan memberikan jaminan bahawa pelanggaran Konvensyen Genosid tidak akan berulang," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Gambia #genosid #ICJ #Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #Malaysia #minoriti Islam #Myanmar #PBB #pelarian #prosiding #Rohingya #Wisma Putra
;