Guru sekolah antara lima individu yang diberkas polis Perak, dipercayai anggota 'Geng Tuah' yang aktif memalsukan dokumen kerajaan, menerusi tiga serbuan pada Jumaat dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Perak Datuk Gan Tian Kee berkata sindiket itu dipercayai memalsukan dokumen rasmi kerajaan seperti kad pengenalan, lesen memandu, cukai jalan dan perakuan pendaftaran untuk kereta klon atau curi sejak beberapa tahun lepas.

"Bertindak atas maklumat dan risikan selama sebulan, sepasukan anggota dan pegawai daripada D4 (Bahagian Operasi/Risikan/Rekod) Perak membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Maju Rapat, Ipoh pada Jumaat pada 4.30 petang.

"Hasil serbuan, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai ketua kumpulan serta merampas pelbagai peralatan yang disyaki diguna untuk menyediakan dokumen palsu," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Siasatan lanjut mendapati lelaki itu pernah ditahan dua kali di bawah kesalahan yang sama, kata Gan.

Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, polis membuat serbuan kedua pada hari sama di sekitar Ipoh dan menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang menggunakan gelaran 'Datuk Seri Panglima Diraja'.

Dalam serbuan itu polis turut merampas tiga kenderaan mewah yang disyaki kenderaan klon, kata Gan.

Semalam, polis melakukan serbuan ketiga dan menahan sepasang suami isteri, msing-masing berusia 37 tahun dan bekerja sebagai kerani Pos Malaysia dan guru, di Pokok Asam, Taiping.

Gan berkata polis kini memburu saki-baki anggota sindiket.

Polis juga menasihati mereka yang pernah menggunakan khidmat sindiket ini agar tampil membantu siasatan atau akan dianggap sebagai rakan subahat.

"Kita memandang serius perkara ini dan akan menyiasat hingga ke akar umbi kerana ia melibatkan dokumen rasmi kerajaan yang dipalsukan butiran.

"Lebih membimbangkan dokumen ini boleh jatuh ke tangan orang asing," katanya menambah sindiket mengenakan bayaran ratusan hingga ribuan ringgit untuk setiap dokumen yang dipalsukan, bergantung kepada permintaan pelanggan mereka.

Gan berkata dua suspek yang diberkas pada Jumaat telah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu, manakala permohonan reman terhadap pasangan suami isteri itu dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

-- BERNAMA