Geng Tebuk Besut tumpas
Bernama
November 7, 2012 18:19 MYT
November 7, 2012 18:19 MYT
Polis Terengganu berjaya menumpaskan 'Geng Tebuk' dengan penangkapan lima warga asing yang menyamun premis terutama kedai emas dengan menebuk dinding, dalam operasi di Besut semalam dan hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata kumpulan itu dipercayai terbabit dengan beberapa kes "tebuk dan kebas" di Terengganu, Kelantan, Johor dan Selangor.
Dalam operasi pertama pukul 12 tengah hari semalam, tiga lelaki dari negara jiran berusia 26, 33 dan 36 tahun diberkas ketika menaiki sebuah kereta dan berlegar di sekitar pekan Jerteh, katanya pada sidang media, di Besut.
Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati suspek terlibat dengan beberapa kes "tebuk dan kebas" termasuk kedai emas di Kuala Besut pada 29 Ogos lepas yang membabitkan kerugian RM250,000.
"Ekoran soal siasat semalam membawa kepada tangkapan dua lagi suspek lelaki warga asing berumur 20 dan 21 tahun yang baru tiba dari Kuala Lumpur di stesen bas bandar Jerteh di sini, kira-kira pukul 10.20 pagi tadi," katanya.
Katanya siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada suspek tinggal di negara ini, manakala yang lain memasuki Malaysia menerusi pas lawatan sosial.
Hasil siasatan juga katanya mendedahkan mereka merancang untuk melakukan jenayah "tebuk dan kebas" kedai dan gudang di beberapa bandar terutama di Kelantan ketika cuti umum.
Polis kini mengesan beberapa lagi anggota kumpulan tersebut yang sudah dikenal pasti, katanya.
Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan, katanya.