Geng remaja curi motosikal EX5 tumpas

Sinar Harian
September 9, 2021 09:00 MYT
Empat motosikal Honda EX5 yang dirampas dalam serbuan berasingan itu. Gambar kecil: Afzanizar. -Foto Sinar Harian
MELAKA: Polis menumpaskan Geng Yus EX5 dipercayai terlibat dalam kes mencuri motosikal Honda EX5 susulan penahanan lapan remaja dalam serbuan berasingan bermula pada 28 Ogos lalu.
Semua remaja lelaki berusia 13 hingga17 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pada 26 Ogos lalu pihaknya menerima laporan kehilangan motosikal milik seorang mangsa berusia 30 tahun yang diletakkan di kediamannya di Bukit Katil.
Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam, polis memberkas enam suspek berusia 13 hingga 17 tahun di Kandang dan Tiang Dua dalam serbuan berasingan pada 28 Ogos lalu.
Katanya, susulan penahanan mereka, polis kemudian mengesan dua lagi ahli kumpulan itu berusia yang berusia 17 tahun di Semabok dan Permatang Pasir pada Isnin lalu.
"Tangkapan enam suspek membawa kepada tangkapan dua lagi individu dan mereka kini direman sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan, " katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Kata beliau, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menyelesaikan satu kes pecah pejabat pada Ogos lalu disyaki dilakukan kumpulan itu di Taman Permatang Pasir Perdana hingga melibatkan kehilangan peralatan komputer jenis iMac dengan anggaran kerugian RM19,500.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/160307/BERITA/Semasa/Geng-remaja-curi-motosikal-EX5-tumpas
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
#curi motosikal #Geng Yus EX5 #Honda EX5 #Afzanizar Ahmad
;