'Geng Potek' tumpas, lapan ditahan disyaki edar dadah
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 28, 2024 10:50 MYT
Julai 28, 2024 10:50 MYT
KOTA TINGGI: Sindiket pengedaran dan pembungkusan semula dadah tiga beradik, yang didalangi bapa saudara mereka tumpas dalam serbuan sebuah rumah usang di Sungai Papan, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata dalam serbuan jam 3.40 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi turut menahan empat ahli sindiket lain termasuk seorang wanita.
Katanya kesemua ahli Geng Potek berumur 19 hingga 51 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM54,550.20.
"Tiga beradik lelaki berusia 19 tahun dan lingkungan 20an, bapa saudara, dan wanita itu adalah teman lelaki bapa saudara. Tiga yang lain adalah rakan.
"Ini melibatkan 415.25 gram ketulan heroin, 123.46 gram ketulan kristal methamphetamine, 8.27 pil eramin 5, 225.49 gram pil ekstasi, 1.12 gram ketamine dan 5.47 gram ganja.
"Polis turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai bernilai RM5,023 dipercayai hasil jualan dadah.
"Modus operandi geng ini menjadikan sebuah rumah papan usang di muara sungai sekitar kawasan Sungai Papan sebagai tempat pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
"Kegiatan Geng Potek ini dipercayai aktif sejak awal bulan Mei lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini hari ini.
Menurut Hussin, geng terbabit menggunakan plastik pembungkusan makanan ringan untuk membungkus semula dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya hasil saringan awal ujian air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah.
"Hasil semakan rekod jenayah pula mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 30 Julai depan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.