Geng Pendang aktif pecah rumah kecundang
Astro Awani
September 13, 2022 17:12 MYT
September 13, 2022 17:12 MYT
KEPALA BATAS: Geng Pendang yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) sejak awal tahun ini akhirnya kecundang selepas empat anggotanya ditahan polis dalam 'Op Pintu'.
Keempat-empat suspek warga tempatan ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, jam 6 petang, 10 September lalu di beberapa lokasi berasingan.
Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, suspek yang berusia antara 29 dan 39 tahun masing-masing ditahan di Pendang dan Sungai Petani manakala dua suspek lagi di Alor Setar, Kedah.
Menurutnya, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun ditahan di Alor Setar sehari selepas empat suspek utama diberkas.
"Siasatan mendapati suspek kelima adalah pemilik kedai emas yang juga pembeli barang yang dicuri oleh empat anggota Geng Pendang.
"Susulan tangkapan semua suspek, polis dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di sekitar SPU," katanya pada sidang media di IPD SPU, dekat sini, hari ini.
Susulan penangkapan suspek, polis turut merampas beberapa beg berjenama, mata wang Thailand, peralatan pecah rumah serta kereta Perodua Bezza yang digunakan dalam kegiatan pecah rumah.
Mohd Radzi berkata, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali.