Geng pecah rumah warga asing tumpas

Afiezy Azaman
Jun 25, 2024 04:10 MYT
Polis Daerah Ampang Jaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing yang berumur 23 hingga 35 tahun di Kampung Tasek Permai, Ampang yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita warga asing yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Kampung Ampang Indah, Ampang, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 3.10 pagi, pada Isnin.
"Pengadu memaklumkan ruang tamu dan bilik rumah di Kampung Ampang Indah dalam keadaan berselerak serta terdapat barang yang hilang.
"Pengadu mengesyaki rumah telah dipecah masuk melalui tingkap bilik belakang dan gerigi besi telah dipecah serta dicabut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing yang berumur 23 hingga 35 tahun di Kampung Tasek Permai, Ampang yang disyaki terlibat dalam kes disiasat.
"Polis turut merampas dua telefon bimbit, komputer riba, tablet, empat utas jam tangan dan beberapa pakaian bagi membantu siasatan.
"Modus operandi suspek menyasarkan perumahan teres tidak berpenghuni ketika melakukan pecah rumah," ujarnya.
Mohd Azam berkata, hasil ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selain suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah narkotik.
"Permohonan reman suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tujuh hari sehingga 30 Jun ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan pecah rumah.
#warga asing #pecah rumah #Ampang #polis