Geng Oum gagal seludup PATI
Sinar Harian
Mei 13, 2023 12:00 MYT
Mei 13, 2023 12:00 MYT
KLANG: Cubaan Geng Oum membawa masuk 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya digagalkan selepas ditahan polis di 6.6 batu nautika dari pesisiran pantai Sungai Semilang di sini, pada Rabu.
Kegiatan itu berjaya dikesan menerusi Op Pintas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurut sumber, kesemua PATI itu ditahan bersama tiga tekong laut kira-kira jam 12.30 tengah malam.
"Semakan mendapati kesemua tangkapan termasuk lima wanita ialah warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 51 tahun.
"Soal siasat terhadap PATI ini mendakwa mereka membayar RM1,500 hingga RM1,800 untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan menaiki bot pom-pom," katanya pada Sabtu.
Tambah sumber, dipercayai kegiatan itu didalangi Geng Oum.
Katanya, tekong terbabit juga dibayar upah sekitar RM800 hingga RM1,200.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)," ujarnya.
Sebagai info, Op Pintas adalah untuk mengesan dan mencegah elemen kesalahan berkaitan penyeludupan migran yang memasuki Malaysia melalui jalan laut.
Pada Rabu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan talian hotline 019-3764763 bagi membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan berkaitan jenayah khususnya judi, pelacuran, gengsterisme, penyeludupan manusia, kontraban dan lain-lain jenayah bersindiket. -Sinar Harian